FAHMI FADZIL LENGKAPKAN LAWATAN KERJA PADAT KE LABUAN
LABUAN, 7 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini melengkapkan lawatan kerja yang padat ke pulau bebas cukai itu, dengan pelbagai acara rasmi dan program komuniti dalam masa sehari.
Program Fahmi bermula dengan perasmian Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9 juta di sini, pada sebelah pagi.
Beliau kemudiannya meneruskan jadualnya dengan pelbagai acara lain, termasuk program di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Sungai Labu, dengan beliau telah turut menghadiri satu mesyuarat secara dalam talian.
Lawatan kerjanya diteruskan pada sebelah petang dengan program Ziarah Kasih, sebelum beliau menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada seorang wartawan tempatan.
Walaupun dengan jadual yang padat, Fahmi berjaya menyelesaikan semua acara tersebut sebelum berlepas dari Labuan ke Kota Kinabalu petang ini.
Lawatan ini mencerminkan komitmen dan libat urus berterusan kementerian bersama dengan pihak berkepentingan dan komuniti di Labuan, dengan Fahmi mengambil peluang bertemu komuniti setempat serta meninjau program-program yang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
Lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Mohd Shukri Ishak.
-- BERNAMA
