TABUNG KASIH@HAWANA X TM BERI SINAR KEPADA PENGAMAL MEDIA DITIMPA MUSIBAH
KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Profesion dalam bidang media sama ada sebagai wartawan mahupun penyiar sering dilihat glamor namun mereka juga tidak terlepas daripada cabaran, termasuk tekanan hidup, komitmen keluarga serta beban kewangan yang jarang diketahui umum.
Justeru bagi Koresponden Wilayah TV3, Kadir Edison, 44, yang bergelut dengan kos rawatan isterinya, inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM bukan sekadar meringankan beban kewangan malah memberi harapan kepada pengamal media yang ditimpa musibah.
“Tabung ini bukan sekadar meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi bukti bahawa kebajikan pengamal media turut diberi perhatian ketika berdepan saat sukar,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM di kediamannya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.
Hadir sama Penolong Pengurus Besar TM Sarawak Zakinah Tuah.
Kadir berkata isterinya, Jenny Chieng, 40, disahkan menghidap diabetes pada penghujung Januari lepas selepas dikejarkan ke hospital dalam keadaan lemah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama empat hari.
“Menurut doktor, bacaan gula dalam darah isteri saya mencecah 31 mmol/L, iaitu jauh melebihi paras normal dan disifatkan oleh doktor pakar sebagai membimbangkan.
“Keadaannya menjadi lebih serius apabila turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa menjalani rawatan di hospital selama kira-kira lapan hari,” katanya yang berkhidmat bersama Media Prima sejak 2015.
Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.
Menerusi peruntukan yang mula disalurkan pada Jun 2026 itu, sebanyak 34 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
Sejak diperkenalkan pada April 2023, sebanyak 800 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA, yang merupakan inisiatif oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama.
-- BERNAMA
