MMM BANTU TINGKAT STANDARD KEWARTAWANAN

14/06/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Akta Majlis Media Malaysia (MMM) yang berkuat kuasa hari ini, dilihat sebagai usaha yang baik oleh kerajaan dalam membantu meningkatkan standard serta membuktikan usaha reformasi yang sekian lama dinantikan dalam arena kewartawanan negara. 

Susulan pengumuman senarai ahli Lembaga Pengasas MMM pada hari ini, para pengamal media berharap ia menjadi satu saluran penting dalam mengemudi industri media negara ke arah kemajuan, dan bukan retorik semata-mata. 

Wakil Utusan Malaysia Selangor Mohamad Athir Ismail berkata penubuhan MMM secara tidak langsung mengesahkan organisasi itu sebagai badan pentauliah yang mendaftar serta mengiktiraf peranan wartawan dan jurugambar sebagai antara medium penyebar maklumat. 

Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kewartawanan berkata pengumuman itu selari dengan penubuhan badan profesion lain seperti Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), dan Institut Akauntan Malaysia sebagai penaung kepada kepakaran seseorang individu dalam sesuatu bidang. 

“Peranan itu penting untuk menentukan penyebaran maklumat yang sahih dan dipastikan sumbernya sekali gus menangkis cubaan penularan berita palsu oleh individu tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.

“Langkah sedemikian juga dapat melindungi wartawan dan jurugambar termasuk entiti penerbitan daripada pertikaian oleh mana-mana pihak terhadap berita yang dilaporkan sama ada melalui media konvensional atau dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagi wakil Kosmo Selangor Mohd Yunus Yakkub kewujudan MMM mampu menjadi loncatan dalam memperkasakan lagi industri media dan ke arah media lebih bebas. 

"Harap ia benar-benar berfungsi dan tidak menjadi alat atau mekanisme baharu dalam mengawal media. Pada masa sama, MMM menjadi garis panduan kepada pengamal media untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan berita masing-masing," katanya.  

Sementara itu, wartawan Kosmo Negeri Sembilan Nor Ainna Hamzah berkata usaha mewujudkan MMM disifatkan sebagai tindakan tepat mengambil kira industri media yang kian mencabar terutama dalam mengekalkan integriti sebagai badan bebas bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Beliau berkata pemilihan wakil sebagai lembaga pengasas majlis itu daripada beberapa kategori termasuk dalam kalangan pengamal media juga amat baik kerana individu yang mempunyai pengetahuan dalam industri itu dapat menetapkan sendiri standard etika dan tatakelola serta hala tuju media.

“Ia juga penting bagi memastikan media terus berfungsi secara bebas namun masih mempunyai tanggungjawab dalam membentuk masyarakat yang secara tidak langsung meningkatkan keyakinan rakyat untuk menyuarakan hak mereka selain menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Wartawan veteran Berita Harian Negeri Sembilan Mohd Amin Jalil pula berkata melalui keanggotaan lembaga pengasas dalam kalangan media pastinya memberi peluang dan memudahkan golongan itu untuk menyuarakan segala pandangan atau masalah berkaitan kepentingan wartawan kepada MMM. 

“Mereka yang berkecimpung dalam bidang wartawan lebih memahami keperluan kumpulan ini.

“Ia juga dapat membantu pihak berkaitan memberikan perhatian dan seterusnya membuat pertimbangan wajar dalam membela atau mempertahankan kepentingan bersama,” katanya yang bepengalaman 30 tahun sebagai wartawan. 

Pengumuman senarai Lembaga Pengasas MMM dibuat Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil semasa Majlis Kemuncak HAWANA 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. 

-- BERNAMA