BEKAS PETUGAS BERNAMA HIDAP PENYAKIT SARAF TERHARU TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

05/09/2024 05:06 PM

SUNGAI BULOH, 5 Sept (Bernama) -- 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul', demikian perumpamaan menggambarkan keadaan Ridzuan Mat Moor, 46, yang diuji dengan penyakit Multiple System Atrophy (MSA) iaitu gangguan pada sistem saraf sejak 2019.

Berkongsi mengenai penyakitnya, bekas petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu berkata penyakit tersebut menyebabkan beliau mengalami kecacatan kekal dan tidak mampu menguruskan diri sendiri tanpa bantuan ahli keluarga.

“Simptom sakit ini mula berlaku pada tahun 2017. Penyakit ini tiada ubat. Apa yang dilakukan adalah fisioterapi dan ‘occupational therapy’ di (pusat kesihatan) swasta,” kata bekas penolong pengurus portal Bernama dan pernah berkhidmat di Bernama hampir 20 tahun sejak 2000 hingga 2020.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata isteri tercintanya Azlin Sarip pula pergi buat selamanya tiga bulan lepas akibat serangan jantung.

“Sedih sampai tahap susah nak kawal diri. Alhamdulillah ada sokongan moral dari kawan-kawan, bekas rakan-rakan sekerja, keluarga dan jiran-jiran yang membantu saya berhadapan dengan perkara ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Kedukaan Ridzuan sedikit terubat hari ini apabila beliau menerima kunjungan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj yang menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepadanya.

Ridzuan berkata beliau pada mulanya terkejut apabila dimaklumkan mengenai lawatan tersebut namun pada masa sama berasa terharu kerana dirinya masih diingati oleh rakan-rakan di agensi berita tersebut.

“Macam tak percaya orang-orang besar Bernama nak datang melawat saya, Alhamdulillah mereka masih ingat pada saya. Syukur sangat. Saya sememangnya rindu ingin berjumpa rakan-rakan lama di Bernama,” katanya.

Sementara itu Nur-ul Afida berharap agar sumbangan yang disampaikan kepada Ridzuan hari ini akan dapat membantu meringankan sedikit beban yang dihadapinya.

“Kami tidak dapat membantu banyak, tetapi sekurang-kurangnya menerusi Tabung Kasih@HAWANA ini kita dapat meringankan sedikit kesukaran beliau dari segi perbelanjaan perubatan dan sebagainya.

“Mengambil kira keadaan saudara Ridzuan ini, sekiranya beliau memerlukan bantuan yang lain kita akan cuba usahakan,” katanya.

Ridzuan adalah antara 145 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lalu. Selain sumbangaan wang tunai, beliau turut menerima sumbangan barangan daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan Aeon Big.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA