KETUA KEJURUTERAAN TEKNIKAL BERNAMA TV TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Ketua Kejuruteraan Teknikal Bernama TV Norhamidi Bunawan, 51, yang mengalami pendarahan otak selepas rebah di kediamannya di Puncak Jalil, Seri Kembangan dekat sini baru-baru ini menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj di kediaman Norhamidi.
Turut hadir Ketua Jabatan Penyiaran TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak serta Ketua TV Norhamzeela Md Hambali.
Isteri Norhamidi, Razilla Nazaran, 51, yang mengucapkan terima kasih, berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
“Kami sekeluarga bersyukur kerana sumbangan ini kami anggap doa supaya suami saya cepat sembuh.
“Selain itu, tindakan pihak pengurusan Bernama juga sangat pantas bagi membantu kami membuat permohonan sebarang bantuan dan yang lain,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata selain Norhamidi, pihaknya mengunjungi seorang lagi petugas Bernama iaitu Timbalan Ketua Bahagian Perancangan Strategik Ahmad Shukran Shaharudin yang cedera akibat nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Menerusi Tabung Kasih@Hawana, kami dapat menyumbang sedikit bantuan untuk mereka bagi membantu dari segi perubatan masing-masing.
“Kunjungan pada hari ini kita harap dapat memberi semangat untuk mereka segera pulih, kita mendoakan agar mereka dapat menjalani rawatan sebaik-baiknya serta dapat kembali bertugas seperti biasa,” katanya.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama dengan menyantuni wartawan dan petugas media yang memerlukan sama ada mereka masih dalam perkhidmatan atau telah bersara.
-- BERNAMA