BALU BEKAS PENYUNTING BERNAMA TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

13/07/2024 12:08 AM

KOTA BHARU, 12 Julai (Bernama) -- Zaharah Shuud, balu kepada bekas penyunting Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sulaiman Jaafar yang meninggal dunia akibat serangan jantung petang tadi, bersyukur dan terharu atas perhatian kepada keluarganya menerusi sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.

Zaharah, 54, berkata sumbangan itu dapat membantu menampung perbelanjaan harian terutama dua anaknya yang masih bersekolah, masing-masing berusia 19 dan 13 tahun.

"Saya mewakili Allahyarham memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah silap sepanjang hayatnya, halalkan segala hutang, makan dan minum," katanya kepada pemberita di Kampung Cherang malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berkata segala jasa baik serta bakti yang dicurah Sulaiman kepada Bernama akan terus diingati selamanya.

Sulaiman, 65, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada 3.50 petang selepas empat hari menerima rawatan akibat dilanggar motosikal yang ditunggang seorang pelajar ketika berjalan kaki untuk pulang selepas menunaikan solat Subuh. 

Kemalangan itu menyebabkan Sulaiman mengalami patah dan retak bahagian tulang belakang serta leher.

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di Bernama pada 1979 dan berkhidmat dengan agensi berita itu hingga 1999 dengan jawatan terakhir sebagai penyunting sebelum menyertai The New Straits Times sebagai penulis khas dan menamatkan perkhidmatan menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2018.

Terdahulu, Pegawai Berita Mohd Noor Iqram Rosli mewakili Ketua Biro Bernama Kelantan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada waris Sulaiman.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA