WARTAWAN SAMBILAN HIDAP KANSER TERIMA SUMBANGAN HAWANA

06/06/2024 05:31 PM

JERTIH, 6 Jun (Bernama) -- Seorang petugas media yang disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga tidak dapat menggambarkan perasaan terharunya apabila menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini.

Wartawan sambilan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Nurul Fatihah Sulaini, 39, berkata sumbangan tunai itu dapat meringankan sedikit perbelanjaan untuk menjalani rawatan susulan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan memandangkan dia kini tidak dapat aktif bertugas seperti biasa kerana masalah kesihatan itu.

“Saya disahkan menghidap kanser November lepas dan sebaik memperolehi keputusan ujian itu, saya merasakan kehidupan saya seperti akan berakhir.

“Sebelum ini saya selalu tulis berita mengenai perit gentir pesakit kanser, tapi kali ini saya sendiri disahkan menghidapi penyakit berbahaya ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Luas, di sini hari ini.

Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA itu disampaikan Pemangku Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Terengganu Balqis Jamaludin, dan turut hadir sama semasa penyampaian sumbangan itu ialah Koresponden NSTP Terengganu Zatul Iffah Zolkiply.

Nurul Fatihah sebelum ini pernah bertugas sebagai wartawan Sinar Harian pada Oktober 2008 sehingga November 2015 di Kedah, sebelum berkhidmat sebagai wartawan sambilan NSTP pada 2016 sehingga kini.

Wanita cekal itu berkata dorongan keluarga terutama suami Muhamad Supardi Harun, 38, yang bertugas sebagai penyelia projek pembinaan, membuatkan dirinya bangkit bersemangat untuk melawan kanser itu dan menjalani sesi rawatan yang ditetapkan doktor.

“Sebelum ini saya berulang alik setiap tiga minggu ke Breast Cancer Awareness and Research Unit (BestaRi) HUSM untuk menjalani lapan sesi kimoterapi dan kesan rawatan itu menyebabkan saya mudah berasa letih serta emosi tidak stabil.

"Sekarang saya menunggu tarikh pembedahan dan selepas itu akan menjalani radioterapi untuk memastikan sel barah tidak merebak," kata ibu kepada dua orang anak, Muhamad Saif Al Fateh, 9 dan Muhamad Syahmi Dhani, tiga tahun.

Nurul Fatihah merupakan antara salah seorang pengamal media yang menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA