BEKAS PEREKA GRAFIK MEDIA TERHARU TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

30/05/2024 05:46 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Mei (Bernama) -- Seorang bekas pekerja media yang menghidap pelbagai penyakit kronik menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA hari ini.

Abdul Aziz Mokhtar, 49, yang sebelum ini berkhidmat dengan Berita Harian sebagai Eksekutif Pereka Grafik sejak 1997 sehingga 2014 berkata sumbangan itu dapat membantu meringankan beban keluarganya, apatah lagi dia kini dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak tiga hari lepas kerana sesak nafas.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana atas izinNya Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan untuk membantu dan meringankan lelah bekas perkerja-pekerja media yang diuji dengan keuzuran dalam meneruskan kehidupan.

“Inisiatif yang disampaikan menerusi Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) ini sangat terpuji kerana ia tidak melupakan kebajikan para pekerja penerbitan bercetak seperti saya, lebih-lebih lagi pada waktu yang mencabar sekarang ini,” katanya ketika ditemui di HSNZ.

Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA itu disampaikan Pemangku Ketua Biro Bernama Terengganu Balqis Jamaludin dan sesi penyampaian itu turut dihadiri Koresponden The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Terengganu Zatul Iffah Zolkiply.

Bapa kepada lima orang anak berumur 18 hingga enam tahun itu telah sekian lama menghidap kencing manis yang menyebabkan kesemua jari di kaki kiri dan satu jari kaki kanannya terpaksa dipotong.

Beliau berkata keadaan kesihatannya juga semakin merosot setelah mengalami masalah jantung tersumbat sejak dua tahun lepas, selain turut menghidap darah tinggi.

Meskipun dia terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk melakukan aktiviti seharian, Abdul Aziz tetap gigih bekerja sebagai pereka grafik bebas bagi menampung keperluan keluarganya.

“Sejak berhenti daripada Berita Harian melalui MSS (Skim Pemisahan Wajib) saya berkerja sendiri sebagai pereka grafik untuk pelbagai barangan seperti baju-T, topi dan sebagainya. Walaupun pendapatan tidak seberapa tetapi ia dapat menampung sedikit sebanyak keperluan perubatan saya,” katanya.

Bagaimanapun katanya keadaan kesihatannya kini menyebabkan dia terpaksa berhenti seketika dan mereka sekeluarga kini bergantung harap dengan pendapatan tidak seberapa isterinya Nur Zulaikha Ahmad, 47, yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat perumahan.  

-- BERNAMA