WARTAWAN BANTU JAYAKAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN, TANGKIS BERITA PALSU

Datuk Mohamad Fauzi Md Isa

29/05/2024 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Wartawan diseru sama-sama membantu menangkis penyebaran berita palsu.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata wartawan merupakan pembawa suara rakyat serta penyampai maklumat berkenaan dasar kerajaan, seterusnya membantu menjayakan sistem penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan negara.

“Sama-samalah terus membantu Kementerian Komunikasi khususnya, dalam menangkis penyebaran berita tidak benar. Selamat Hari Wartawan Nasional 2024,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada tahun 1939 sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media. 

-- BERNAMA