PEMIMPIN PUSAT, NEGERI HARGAI PERANAN PENGAMAL MEDIA
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Jemaah Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta kementerian antara yang menzahirkan penghargaan kepada pengamal media sempena Hari Wartawan Nasional hari ini.
Selain berterima kasih atas ‘khidmat sebagai penyampai maklumat', rata-rata mereka turut menyentuh kepentingan berpegang kepada etika kewartawanan selari dengan tema sambutan tahun ini, 'Etika Teras Kewartawanan Mapan'.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam ucapannya mengingatkan kepentingan pematuhan terhadap etika kewartawanan, yang merupakan perkara teras dalam melaksanakan tugas.
"Etika adalah tiang seri dalam bidang kewartawanan kerana kepatuhan terhadapnya bukan sahaja menjadikan seseorang itu wartawan yang terbaik, tetapi menjamin kelangsungan sesebuah organisasi media," katanya menerusi hantaran di platform X.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula menyifatkan wartawan dan pengamal media sebagai pejuang dalam membentuk masyarakat berilmu dan berwawasan menerusi penyampaian berita bermaklumat yang benar dan sahih.
"Komitmen anda semua dalam memastikan bahan berita itu sampai kepada khalayak rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun, berhujan berpanas, baik dalam bahaya mahupun sukar, menjadikan anda perwira yang kami sanjungi!" katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga menerusi hantaran di Facebook berharap pengamal media terus berpegang kepada etika kewartawanan bagi menjaga keharmonian dan kesejahteran rakyat di negara ini.
"Terima kasih atas peranan penting dalam menyampaikan informasi yang sahih dan tepat kepada rakyat," katanya yang turut berkongsi gambar kenangan sidang media dihadirinya bersama pengamal media di Pahang dalam hantaran itu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof pula berkata etika kewartawanan perlu terus dijadikan amalan penuh dalam melaporkan setiap berita menerusi sumber informasi tepat dan sahih.
Beliau berkata ini kerana media merupakan 'jambatan' yang menghubungkan sumber maklumat antara kerajaan dan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam menghargai tugas wartawan, mengucapkan syabas kepada pengamal media yang memainkan peranan dengan baik dan berdedikasi.
"Saya boleh katakan tanpa wartawan siapalah kami sebagai pentadbir negeri malah sebagai rakyat negara ini. Tanpa kalian, kami juga mungkin tidak mudah untuk menerima sebarang informasi, berita dan isu semasa," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias turut mengakui peranan besar pengamal media sebagai penyampai informasi kepada rakyat.
"Kekuatan pemikiran rakyat yang terbentuk sejak zaman berzaman banyak dicorakkan oleh informasi disajikan daripada pengamal media. Semoga pengamal media terus sihat dan berpegang kepada etika kewartawanan setiap masa," katanya.
Ucapan tahniah dan penghargaan kepada para wartawan turut dizahirkan menerusi catatan di pelbagai platform laman sosial seperti di Kementerian Komunikasi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kerja Raya; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Selain itu turut menzahirkan ingatan dan penghargaan kepada pengamal media ialah Majlis Belia Malaysia, Agensi Angkasa Negara (MYSA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan MARA Corporation.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1939 sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media.
-- BERNAMA