HAWANA 2024 GALAKKAN PENGAMAL MEDIA KUASAI TEKNOLOGI SEMASA
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 menggalakkan pengamal media agar cakna dengan perkembangan teknologi semasa dan mengaplikasikannya dalam tugasan harian, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam menjayakan program HAWANA kali ini yang mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya Bernama, selaku penganjur utama HAWANA 2024.
“Penghargaan juga kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching dan kelab-kelab serta persatuan-persatuan media yang hadir dari seluruh negara,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian ketika majlis kemuncak sambutan HAWANA 2024 di Kuching, Sarawak, semalam mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kecemerlangan Bernama bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk para pengamal media.
Beliau berkata peruntukan itu selaras dengan seruan agar warga media turut sama mendalami dan menguasai penggunaan teknologi termask AI ketika menjalankan tugasan mereka.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA pada tahun depan.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan HAWANA 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih berkhidmat atau sudah bersara, yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
HAWANA 2024 berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.
Penganjuran yang memasuki tahun keempat melibatkan wakil persatuan, kelab media tempatan dan wartawan dari 12 negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait, yang berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu, mengikuti pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.
-- BERNAMA