PERUNTUKAN TAMBAHAN RM1 JUTA TABUNG KASIH@HAWANA TERUS BELA KEBAJIKAN WARTAWAN
KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Peruntukan tambahan RM1 juta bagi Tabung Kasih@HAWANA untuk tahun hadapan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap golongan wartawan dan pengamal media.
Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Mohamad Fauzi Ishak berkata pengumuman itu menunjukkan kerajaan peka terhadap kebajikan golongan itu yang berdepan pelbagai cabaran.
Beliau yang juga Presiden Kelab Media Johor (KMJ) berkata tuntutan tugas wartawan ketika ini amat berbeza malah adakalanya mengancam nyawa dan kesihatan sehingga menjejaskan kemampuan mereka untuk terus berkerja.
“Ini memberi kesan positif yang sangat besar kepada kerja-kerja pengamal media, sumbangan memberi banyak manfaat kepada penerima atau ahli keluarga atau waris, selain memberi motivasi dan kelegaan kepada semua pengamal media,” katanya kepada Bernama di sini.
Di Negeri Sembilan, Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) Muhd Danial Amsyar Arfi berkata dengan penambahan dana itu, lebih ramai pengamal media kerajaan atau swasta yang memerlukan boleh dibantu.
“Saya berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan kepada semua para media, kalau di negeri kebanyakan wartawan ini secara sambilan, jadi pendapatan diterima terhad dan bantuan Tabung Kasih@ HAWANA ini dapat meringankan beban petugas media.
Bagi pengamal media sambilan, Nor Ainna Hamzah, 39, penambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai pengamal media baik masih berkhidmat atau bersara dapat dibantu melalui Tabung Kasih@Hawana.
“Jika tahun ini lebih 100 pengamal media dapat dibantu, tahun depan diharapkan lebih ramai lagi menerima manfaat. Tabung ini pastinya dapat membantu pengamal media terutamanya secara sambilan yang terkesan dengan cabaran ekonomi.
“Data mengenai jumlah pengamal media yang terkesan boleh diperoleh melalui kelab media di negeri masing-masing,” katanya yang turut mencadangkan jika terdapat inisiatif khas bagi membantu golongan ini secara tetap ‘sekali bayar’ setiap tahun adalah amat dialu-alukan seperti pemberian bantuan sekolah.
Di Pahang, wartawan akbar Utusan Malaysia Mohamad Shofi Mat Isa mengharapkan peruntukan itu dapat digunakan sebaik mungkin bagi membantu pengamal media yang memerlukan terutamanya yang berdepan kesusahan hidup serta diuji dengan masalah kesihatan.
“Terima kasih kerajaan kerana mendengar suara kami (media). Saya harap ia benar-benar sampai kepada golongan sasar dan dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan para pengamal media,” katanya.
Bagi wartawan sambilan Norhafizan Zulkfili, 38, peruntukan tambahan tabung itu amat bermakna bagi pengamal media khususnya dalam kalangan wartawan sambilan yang tidak dapat menikmati sebarang kemudahan sepetri petugas tetap.
“Pendapatan stringer berdasarkan berita atau gambar yang dihantar dan ada ketikanya, berita tidak digunakan dan tiada bayaran. Jadi, tabung ini saya lihat ia sangat membantu kami,” katanya yang sudah tiga tahun bekerja sebagai wartawan sambilan.
Pada majlis kemuncak sambutan HAWANA 2024 di sini semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk tabung itu yang dikelola oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tahun depan.
Sejak dilancarkan pada tahun lepas semasa HAWANA 2023 di Ipoh, Perak, seramai 102 orang telah dibantu menerusi Tabung Kasih@HAWANA.
-- BERNAMA