TABUNG KASIH@HAWANA: BANTUAN PALING BERMAKNA, PENERIMA RASA DIHARGAI
KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Penerima Tabung Kasih@HAWANA, Chia Kan Nyuk, wartawan akhbar See Hua Daily News di Miri, bahagian utara Sarawak menyifatkan sumbangan yang diterimanya sebagai sesuatu yang amat bermakna.
Penghidap kanser payudara sejak Julai 2023 itu terharu apabila menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2024) di sini hari ini.
Chia, yang bertugas sebagai wartawan selama 31 tahun, berkata sumbangan itu amat membantu beliau dalam perjuangannya melawan penyakit yang dihidapi.
"Sumbangan ini amat besar maknanya bagi saya, meringankan beban saya dalam proses pemulihan ini," katanya.
Wanita berusia 53 itu berkata beliau akan terus berjuang melawan penyakit kanser dan berharap diberikan kekuatan untuk sembuh.
Empat lagi penerima Tabung Kasih@HAWANA 2024 ialah bekas wartawan di Sarawak iaitu Thng Joo Hua, 38, Jonathon Bullet Henry Embaya, 56, Tukino Mapol, 67 dan Angelina Sinyang, 49.
Thng, yang pernah berkhidmat di Sin Chiew Daily selama 14 tahun, disahkan menghidap kanser tulang Nasofarinks sejak Januari 2022 manakala Jonathon Bullet, bekas jurufoto The Borneo Post selama 10 tahun, diserang angin ahmar pada 2021.
Tukino, yang merupakan bekas jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM), pula mengalami masalah buah pinggang sejak 2017 selepas bersara wajib manakala Angelina Sinyang, bekas Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Sarawak sebelum menjadi Koordinator Astro Awani Sarawak pada Julai 2019 hingga Mac 2022, telah disahkan menghidap kanser payudara pada Oktober 2023.
Pada 2023, Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah memperkenal Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika berucap pada majlis Kemuncak HAWANA hari ini berkata setakat ini, sejumlah 102 orang telah dijejaki dan akan dibantu menerusi tabung itu agar kebajikan pengamal media terbela.
-- BERNAMA