HAWANA: PERUNTUKAN RM1 JUTA UNTUK KURSUS AI TEPAT PADA MASANYA

27/05/2024 07:23 PM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Langkah kerajaan menyediakan peruntukan RM1 juta bagi penganjuran kursus dan latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk pengamal media dilihat tepat pada masanya, ketika industri berdepan dengan pelbagai evolusi termasuk ledakan teknologi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 mengumumkan peruntukan berkenaan, yang akan disalurkan kepada Pusat Latihan Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menyelaras kursus, latihan dan kegiatan berkaitan AI kepada pengamal media di negara ini. 

Pusat Kecemerlangan Bernama bertanggungjawab menyediakan program latihan yang berkaitan dengan kakitangannya dan juga agensi-agensi kerajaan mahupun syarikat korporat, selain turut menguruskan permohonan penuntut institut pengajian tinggi bagi menjalankan latihan industri di organisasi itu

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman berkata peruntukan itu penting dalam meneroka dunia AI demi kesejahteraan industri media.

“Di organisasi media, kita boleh menggunakan AI dalam pelbagai cara seperti transkrip, menyediakan skrip, dan bila gunakan AI kita tidak perlu membuat benda (kerja) yang berulang, kita boleh pergi ke peringkat lebih tinggi, jadi saya rasa pengumuman Perdana Menteri ini memang tepat pada masanya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo yang senada berkata :"Peruntukan ini akan membantu kita mengadakan satu bentuk persefahaman, kita tahu apa yang kita boleh buat dengan wang yang diperuntukkan dan bagaimana ia akan diterjemahkan dalam bentuk bantuan kepada wartawan.

“Saya rasa memang perlu kita terus bergerak selari dengan perkembangan teknologi semasa, terutama yang berkaitan dengan AI, lihat bagaimana ia boleh memberi kesan kepada wartawan semasa menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu Presiden Kelab Media Putrajaya Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin berharap dengan peruntukan itu ia dapat dimanfaatkan sebaiknya kepada pengamal media.

“Teknologi atau digital adalah satu cabaran besar pada waktu ini, kami wartawan di Putrajaya menyambut baik langkah yang diumumkan untuk kita sama-sama menjadikan industri kewartawanan di Malaysia lebih cemerlang," katanya.

HAWANA 2024 yang mengangkat tema " Etika Teras Kewartawanan Mapan" berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas di sini, dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.

Penganjuran yang memasuki tahun keempat dihadiri kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Turut terlibat wakil persatuan, kelab media tempatan dan wartawan dari 12 negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait, yang berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu, mengikuti pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

Sementara itu Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong inisiatif memberikan peruntukan kepada wartawan veteran yang berhadapan dengan kesukaran hidup, dan meningkatkan kemahiran kewartawanan menerusi Bernama menandakan keprihatinan kerajaan kepada kelompok media yang sentiasa menjadi sebahagian daripada mekanisma pembinaan bangsa menerusi tugas-tugas kewartawanan.

Beliau yang merupakan bekas ketua pengarang Bernama turut berkata Perdana Menteri memberikan penilian yang bijak dan pragmatik mengenai bagaimana mengoperasikan kebebasan media dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia dengan demokrasi yang semakin berkembang.

“Ia tentang kesedaran amalan kewartawan yang bertanggungjawab supaya kita tidak menyekat perpaduan yang dipupuk sejak bertahu-tahun lamanya,” katanya.

Sementara itu wartawan Meja Digital Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman berkata peruntukan RM1 juta yang diberi kepada Pusat Kecemerlangan Bernama bagi penganjuran kursus mampu menambah baik kualiti serta penyampaian berita kepada khalayak ramai dengan menggunakan AI.

“Usaha kerajaan sebagaimana yang diumumkan Perdana menteri itu memang tepat pada masanya, kerana kita tahu manfaat penggunaan AI dalam pelaporan amat besar, tapi salah satu cabarannya adalah dari segi kos,” katanya, dan menambah Bernama aktif dalam menganjurkan kursus-kursus bulanan dalam memastikan para petugasnya dilengkapi dengan peralatan dan teknologi digital terkini.

Syed Iylia berkata baru-baru ini Bernama memeterai perjanjian penyelidikan bersama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin bagi membangunkan DataSpeak News System, yang menggunakan AI bagi menganalisis trend dan sentimen dalam platform media sosial dan portal dalam talian, menerusi berita-berita yang dihasilkan Bernama.

-- BERNAMA