BERNAMA, RTM JALIN KERJASAMA PERKEMAS PENYAMPAIAN MAKLUMAT - CEO BERNAMA
KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merancang memperluaskan kerjasama strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha mewujudkan program ‘penempatan strategik’ bagi memperkukuhkan kualiti penyampaian berita.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata kedua-dua agensi itu yang bernaung di bawah Kementerian Komunikasi boleh saling berkongsi kepakaran demi manfaat bersama.
Nur-ul Afida berkata dalam masa terdekat pihak RTM akan menghantar wartawan untuk ditempatkan di Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama sebaliknya Bernama menghantar petugas teknikal ke RTM.
“Tidak lama lagi kita akan memulakam program penempatan, macam 'pertukaran pelajar' iaitu petugas Bernama akan ke RTM untuk menjalani beberapa latihan yang bersesuaian, dan pekerja RTM pula ditempatkan di Jabatan Pengarang Bernama.
"Jadi inilah satu kerjasama yang boleh membantu kita menambah baik lagi hasil kerja dengan kita berpeluang mempelajari cara RTM dan RTM boleh belajar dari Bernama, maka kita sama-sama mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” katanya selepas ditemu bual pada program ‘Selamat Pagi Malaysia (SPM) X Apa Khabar Malaysia (AKM)’, di sini hari ini.
Mengenai kerjasama antara Bernama dan RTM dalam menjayakan program bual bicara itu, Nur-ul Afida berkata ia dapat meningkatkan kemahiran petugas dalam aspek pemberitaan serta teknikal.
Dalam program bicara itu, Nur-ul Afida bersama dengan Ketua Pengarah Penyiaran RTM Datuk Suhaimi Sulaiman menjadi tetamu bagi membicarakan topik ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.
HAWANA 2024 yang berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas di sini akan melabuhkan tirainya hari ini dengan kemuncak perasmian petang ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
HAWANA 2024, acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.
-- BERNAMA