KEMUNCAK HAWANA 2024 BAKAL DIRASMI PM ANWAR PETANG INI

27/05/2024 01:27 PM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang bermula sejak Sabtu lepas akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.

Berlangsung di sebuah hotel di sini, acara itu akan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol serta kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Wakil persatuan, kelab wartawan tempatan dan wartawan dari 12 negara terlibat adalah dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu yang menyaksikan pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang.

Pada acara kemuncak dijadual berlangsung kira-kira 3 petang ini, tumpuan pastinya terarah kepada ucapan Perdana Menteri selain penyampaian Anugerah HAWANA 2024 dan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada lima penerima memerlukan.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak. Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah agensi pelaksana HAWANA 2024.

-- LAGI 

 

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai kelapangan 'juh rami-rami nangak' (jom ramai-ramai) ke Pameran HAWANA 2024 yang berlangsung tiga hari sejak Sabtu di Plaza Merdeka di sini. 

HAWANA 2024 yang pertama kali dianjurkan di Sarawak dimulakan dengan Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak. 

Selain itu, turut diadakan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 dan program 'Juh Raon' yang bermaksud 'jom bersiar-siar’ dalam dialek tempatan, yang membawa peserta melawat tempat menarik sekitar bandar raya Kuching.

Malam tadi peserta HAWANA 2024 diraikan dalam jamuan makan malam yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Turut  hadir Abang Johari dan isteri Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas dan Fahmi. 

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara.

-- BERNAMA