RAPTAI PENUH KEMUNCAK HAWANA 2024 BERJALAN LANCAR

26/05/2024 07:35 PM

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Raptai penuh Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Hotel Waterfront di sini hari ini berjalan lancar dengan beberapa sentuhan akhir akan dibuat bagi memastikan kelancaran acara berkenaan esok.

Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata sesi persiapan dilaksanakan petugas sejak pagi dan turut dipantau beberapa unit daripada Pejabat Perdana Menteri serta kerajaan Sarawak.

Beliau berkata majlis kemuncak yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan turut disertai kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada wartawan dan pengamal media tempat serta luar negara selain pelbagai wakil agensi.

“Sesi raptai hari ini berjalan lancar dan ada beberapa sentuhan akhir yang perlu dilakukan kerana kita ada beberapa acara penting dalam majlis kemuncak esok.

“Esok kita akan meraikan wartawan dan pengamal media termasuk kehadiran 20 wakil media luar  negara,” katanya kepada Bernama selepas sesi raptai itu hari ini.

Pada majlis kemuncak esok, Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 selain bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada penerima memerlukan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

HAWANA 2024, acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA