HAWANA 2024: JUH RAON BAWA PETUGAS MEDIA DEKATI, KENALI SARAWAK
KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Keunikan seni bina, bahan artifak dan penggunaan teknologi interaktif di Muzium Budaya Borneo di sini memukau lebih 70 pengamal media yang juga peserta Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 hari ini.
Menerusi program 'Juh Raon' yang membawa petugas media pelbagai agensi dan platform melawat lokasi ikonik sekitar bandar raya ini, rata-rata peserta kagum dengan tarikan serta kelainan ditampilkan oleh muzium kedua terbesar di Asia Tenggara itu.
Wartawan Astro Awani Shuhada Kadir, 32, berkata menelusuri pameran di muzium itu ibarat memasuki terowong masa yang mengimbau fasa pembangunan dan evolusi penempatan manusia di Sarawak sejak zaman Paleolitik.
"Saya memang suka perkara berkaitan sejarah, adat dan sebagainya, susunan naratif di muzium ini juga sangat kemas, banyak yang saya belajar hari ini, " katanya kepada Bernama.
Wartawan TV3 Kumaran Rajamoney, 39, pula berpandangan ciri interaktif yang diterapkan menjadikan pengalaman berada di muzium itu lebih menarik dan jarang ditemukan di Malaysia.
"Antara yang saya sempat cuba ialah pengalaman interaktif seolah-olah berada di Gua Niah secara paparan visual yang belum pernah dirasai di muzium lain," katanya.
Eksekutif Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Haikal Mohd Isa berkata lawatan sekitar tiga jam itu mampu menjadi pembuka mata dan memberi pendedahan kepada pengamal media untuk lebih mengenali Sarawak terutama mereka yang bertugas di luar Bumi Kenyalang.
"Koleksi dan persembahan pameran bahan dan artifak juga sangat baik serta bertaraf antarabangsa antaranya seramik dari Dinasti Ming dan Jepun.
"Bahan pameran juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa Sarawak sudah menjadi tumpuan pedagang asing dari dulu lagi," katanya selepas lawatan itu.
Menerusi program itu, yang merupakan sebahagian daripada pengisian sambutan HAWANA tahun ini, peserta turut dibawa melawat Jambatan Darul Hana dan Dataran Ibu Pertiwi sebelum dibawa ke Restoran English Tea House untuk majlis jamuan teh serta sesi perangkaian.
HAWANA 2024, yang berlangsung di Kuching, Sarawak bermula semalam hingga esok, mengangkat tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' dan kemuncak sambutan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA