PAMERAN HAWANA 2024: RERUAI BERNAMA TARIK MINAT PENGUNJUNG 'CILIK'

26/05/2024 06:44 PM

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Reruai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada pameran sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini menjadi tumpuan ibu yang mahu memberikan anak mereka pengalaman menjadi penyampai dan pembaca berita radio.

Pameran oleh Bernama yang menampilkan mini konti radio serta peralatan penyiaran seperti mikrofon dan kamera itu dihadiri pengunjung sejak semalam terutama ibu bapa yang datang membawa bersama anak mereka untuk melawat reruai berkenaan.

Mohamad Shahrizan Yunus, 46, dari Siburan berkata dia bersama isteri dan tiga anaknya berkunjung ke pameran HAWANA 2024 secara kebetulan selepas menghadiri pertandingan mewarna yang diadakan di situ.

Dalam kunjungan itu, dia membenarkan anak sulungnya Mohamad Farish Iqbal Mohamad Shahrizan, 9, untuk merasai sendiri duduk di kerusi konti serta bercakap seperti penyampai radio selain tidak melepaskan peluang bergambar kenangan.

Menurutnya pameran seperti itu sangat bermanfaat buat pengunjung terutama kanak-kanak bagi mendapat pendedahan awal serta menanam minat untuk menceburkan diri dalam dunia kewartawanan dan penyiaran.

“Kami dari Siburan ke Kuching lebih kurang satu jam. Kebetulan ada pameran (HAWANA 2024) jadi kami tidak melepaskan peluang untuk melihat apa yang ada di sini. Untuk acara macam ini memang elok, mana tahu satu hari nanti anak-anak boleh menceburi bidang kewartawanan atau penyiaran.

“Sekarang ini banyak bidang sebegini diketengahkan untuk generasi muda, jadi saya mengambil kesempatan untuk bawa anak ke sini bagi membolehkan dia melihat sendiri apa yang ada di sini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, wartawan penyiaran Bernama Radio Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi yang merupakan antara petugas di reruai Bernama berkata orang ramai tidak putus datang ke pameran pertubuhan itu sejak semalam termasuk kanak-kanak. 

“Semalam ada seorang kanak-kanak saya berumur 10 tahun datang bersama keluarga. Saya nampak dia macam berminat jadi kami tarik dia masuk ke konti. Dia mahu mencuba tapi malu, jadi kita bagi peluang untuk dia bergambar dan bagi peluang untuk bercakap.

“Hari ini juga kita dapat kunjungan daripada adik cilik yang mahu mencuba pengalaman menjadi penyampai radio dan pembaca berita radio. Jadi, dengan adanya mini konti kita di sini mereka berpeluang merasai pengalaman menjadi pembaca dan penyampai radio,” katanya.

Ahmad Irfan berkata walaupun kanak-kanak belum mendapat gambaran bagaimana menjadi seorang wartawan sebenar, ia tetap dapat memberi semangat dan membuka mata berkenaan industri media ini.

Pameran HAWANA 2024 berlangsung tiga hari bermula semalam. 

HAWANA 2024 yang merupakan acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.

Penganjuran yang memasuki edisi keempat tahun ini turut disertai kira-kira 1,000 pengamal media dari  Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan dan Qatar.

-- BERNAMA