KERANCAKAN MEDIA SOSIAL PERLUKAN WARTAWAN LEBIH PEKA
KANGAR, 25 Mei (Bernama) -- Perkembangan teknologi komunikasi dan peralihan kepada media baharu yang merancakkan penggunaan media sosial pada masa kini, memerlukan seseorang wartawan lebih peka terhadap kesahihan maklumat sebelum melaporkan berita berbanding tahun 70-an.
Wartawan veteran Ramli Ismail, 74, berkata media sosial sememangnya memudahkan wartawan melaksanakan tugasan, namun ‘penulis berita’ yang beretika tidak boleh mengambil mudah terhadap sebarang kandungan yang disiarkan lebih-lebih lagi berkaitan kesahihan fakta.
Ramli yang berpengalaman sebagai wartawan selama 47 tahun berkata penyebaran berita palsu, merupakan antara cabaran terbesar kepada pengamal media terutama yang baharu menceburi bidang kewartawanan kerana mereka perlu bekerja keras untuk menangkisnya.
“Saya tengok sekarang banyak penyebaran berita palsu dari media sosial, jadi sebagai wartawan kena melaporkan kesahihan berita menerusi kemudahan yang sedia ada, perlu perbetulkan balik maklumat yang tidak benar,” katanya kepada Bernama.
Ramli pernah bertugas sebagai Wartawan Utusan Malaysia di Perlis pada 1972 hingga 1995 sebelum menjadi pemberita sambilan (Stringer) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Biro Perlis dari tahun 1997 hingga 2021.
Bagaimanapun, Ramli tidak menafikan kemunculan media baharu seperti aplikasi WhatsApp dan Tiktok dapat mengupayakan lagi bidang kewartawanan di negara ini, apabila masyarakat boleh mendapatkan informasi berhubung isu semasa dengan lebih cepat dan terkini.
“Semasa saya menjadi wartawan dulu, nak hantar laporan bertulis atau gambar (filem) saya kena taip dengan mesin taip pada malam hari, lepas itu kena tunggu dan pos dengan van, untuk hantar ke Kuala Lumpur.
“Sekarang sangat mudah, tak perlu bergerak banyak, taip sahaja terus sampai ke Kuala Lumpur, tak kira di mana-mana pun boleh hantar berita. Media baharu yang ada ini sangat membantu untuk wartawan sekarang,” katanya.
Sebagai ‘orang lama’ dalam bidang kewartawanan, Ramli berpandangan surat khabar masih relevan pada masa ini kerana terdapat golongan yang memilih medium itu untuk mengetahui perkembangan semasa walaupun tidak menafikan industri percetakan akhbar semakin merosot.
“Disebabkan maklumat mudah diperoleh hanya di hujung jari, tidak semestinya akhbar akan terus lenyap, saya sendiri melanggan surat khabar setiap bulan kerana saya lebih selesa membaca serta maklumat lebih ‘detail’ apabila membaca surat khabar,” katanya.
Ramli yang tidak lagi secergas dahulu kerana mengalami tekanan darah tinggi ialah antara penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di kediamannya di Taman Guru Jaya di sini pada 26 April.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa pengamal media, 29 Mei setiap tahun diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) sejak 2018.
HAWANA 2024 bertemakan "Etika Teras Kewartawanan Mapan" diadakan selama tiga hari mulai hari ini di Kuching, Sarawak dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.
-- BERNAMA