WARTAWAN LUAR MAHU PELAJARI AMALAN TERBAIK, PENGETAHUAN BERNILAI DI HAWANA 2024
Oleh Zaphne Philip
KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Mempelajari amalan kewartawanan terbaik dan memperolehi pengetahuan bernilai adalah antara harapan yang diluahkan wartawan luar negara yang turut serta dalam sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang bermula esok.
Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Mohamad Rainie Durani berkata beliau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai amalan terbaik pengamal media di Malaysia untuk kekal relevan dan berdaya saing menjadi harapannya untuk hadir di HAWANA 2024 dan Persidangan Media Sarawak (SMeC), salah satu program sambutan itu.
“Sebagai wakil dari negara Brunei Darussalam, saya ingin mengetahui amalan terbaik yang diamalkan oleh rakan-rakan media Malaysia dalam berdepan dengan cabaran terkini, khususnya dengan kebangkitan warga siber,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Menurutnya kewujudan ‘masyarakat digital’ yang sering berkongsi peristiwa yang berlaku di depan mata adalah antara cabaran yang dihadapi oleh wartawan pada masa kini dengan perkongsian masyarakat sering kali lebih pantas disiarkan, terutamanya di platform media sosial.
“Perkara ini merupakan satu cabaran utama bagi agensi-agensi berita rasmi untuk kekal relevan dan berdaya saing, sehinggakan kadangkalanya ia akan mewujudkan rasa kurang selesa dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Rainie berkata secara tidak langsung perkara ini telah menyumbang kepada peningkatan kepentingan kewartawanan data bagi kesahihan fakta dan maklumat.
“Wartawan memainkan peranan yang amat besar dalam mengetengahkan isu-isu semasa dan berita terkini yang boleh memberikan nilai dan bermanfaat kepada pembaca.
“Masyarakat sekarang mahukan maklumat atau informasi yang lebih sahih berkaitan peristiwa yang terjadi, kerana kebanyakkan masyarakat sudah tahu menilai,” katanya.
Sementara itu, Virna Puspa Setyorini yang merupakan korespondan Agensi Berita Indonesia (ANTARA News) berkata topik yang relevan dengan situasi terkini harus dibincangkan secara lebih inklusif dalam dunia kewartawanan.
“Kita tidak boleh mengelak kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi dan pada masa yang sama mesti memastikan kod etika dikekalkan untuk kewartawanan yang berkualiti dan bertanggungjawab.
“Saya HARAP kita dapat membawa pulang pengajaran, penyelesaian, idea yang berharga untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dalam dunia kewartawanan atau media daripada perbincangan semasa persidangan sempena HAWANA 2024,” katanya.
HAWANA 2024 bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ adalah perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan acara kemuncak sambutan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin ini.
Ia adalah anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.
HAWANA kali pertama diadakan di ibu negara pada 2018, diikuti dengan sambutan berikutanya di Melaka (2022) dan Perak (2023).
Tarikh 29 Mei dipilih sebagai Hari Wartawan Nasional bagi memperingati penerbitan pertama akhbar Utusan Malaysia pada 29 Mei 1939.
-- BERNAMA