RASAI PENGALAMAN JADI PENYAMPAI BERITA, PENERAJU RADIO PADA PAMERAN HAWANA

24/05/2024 04:01 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Bukan sekadar pameran “biasa-biasa”, tetapi orang ramai khususnya mereka yang berada di sekitar bandar raya ini boleh mencuba pengalaman menjadi penyampai berita televisyen dan peneraju radio bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

Tiga agensi iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara yang “menawarkan” platform untuk orang ramai menyertai program seperti Simulasi Pembaca Berita UKAS, Konti Radio Bernama dan RTM DJ Corner. 

Bertempat di Atrium Utama, Plaza Merdeka Shopping Centre, yang terletak di tengah-tengah Kuching, sebanyak 20 reruai pameran pelbagai agensi akan mempamerkan perkhidmatan mereka, selain memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat dan menyertai aktiviti disediakan.

Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata segala persiapan untuk HAWANA 2024 dengan tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” yang akan membuka tirai esok kini pada tahap 90 peratus. 

Arul Rajoo yang juga Pengarah Projek Sekretariat HAWANA 2024 berkata orang ramai yang mengunjungi pameran HAWANA berpeluang melihat sendiri peralatan media lama dan sejarah media di Sarawak seperti kamera lama, radio lama, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Bumi Kenyalang.

Arul Rajoo ditemui selepas mengiringi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meninjau persiapan pameran HAWANA 2024 yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Biro Bernama Sarawak Hamdan Ismail.

Selain itu, beberapa acara di pentas utama juga akan berlangsung yang turut melibatkan trivia, giveaway (hadiah percuma) dan permainan serta kuiz yang membolehkan orang ramai mendapatkan hadiah menarik, selain turut berpeluang menikmati persembahan PENTARAMA oleh Jabatan Penerangan.

Pada pameran itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perkongsian Klik dengan Bijak: Keselamatan Internet bagi memberi pendedahan dan maklumat kepada orang ramai berhubung peri pentingnya ilmu literasi digital.

Sementara itu, tinjauan di reruai pameran mendapati petugas sudah mula memasukkan barang-barang pameran sejak pagi tadi, manakala papan iklan dan gegantung mengenai HAWANA 2024 sudah mula dipasang di tiang-tiang jalan utama di sekitar bandar raya Kuching.

Terdapat juga sebahagian daripada 1,000 pengamal media tiba di sini sejak semalam termasuk dari luar negara iaitu Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar. 

Tinjauan di Pustaka Negeri Sarawak, lokasi bagi program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa mendapati persiapan giat dijalankan oleh kira-kira 20 petugas bagi menyambut kedatangan lebih 200 pelajar yang menyertai program itu, sebahagian besarnya ialah penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ketua Jawatankuasa Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa, Zaria Mohd Nasri ketika ditemui berkata selain sesi dialog bersama Fahmi, program dengan kerjasama UNIMAS itu akan turut melibatkan perkongsian mengenai Mobile Journalism (MoJo) dan Fact Check, dengan sesi raptai penuh akan dijalankan petang ini.

Perbincangan mengenai topik Fact Check akan dikendalikan oleh Editor Meja Digital Media Bernama Sakina Mohamed, manakala perkongsian MoJo pula oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman. 

“Keunikan kali ini juga apabila kita akan turut menyampaikan sumbangan berupa satu set komputer dan satu televisyen bagi setiap fakulti berkaitan pengajian media di universiti yang kita jelajahi untuk kegunaan mereka,” katanya. 

Penganjuran tahun ini ialah edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

HAWANA 2024 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak, manakala  Bernama selaku agensi pelaksana.

-- BERNAMA