HAWANA PLATFORM BINCANG ETIKA KEWARTAWANAN, KELANGSUNGAN INDUSTRI MEDIA

Malaysian National News Agency (Bernama) Chief Executive Officer Nur-ul Afida Kamaludin

24/05/2024 02:18 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang bermula esok bukan sekadar membincangkan mengenai etika dalam bidang kewartawanan, tetapi ia juga platform terbaik untuk merungkai isu-isu penting dalam industri media selaras perkembangan teknologi masa kini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata ledakan teknologi pada masa kini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat media dalam negara yang juga bergantung kepada iklan sebagai sumber pendapatan.

"Akibat ledakan teknologi, ada maklumat yang mudah diperoleh secara dalam talian dan ada pihak yang tidak menganggap syarikat media misalnya media cetak mempunyai peranan untuk pengiklanan.

"Maka, kita bawa topik berkenaan perkara ini pada HAWANA 2024 untuk membantu syarikat-syarikat media di Malaysia mempersiapkan diri dan mengambil langkah untuk meningkatkan serta menambah baik lagi keupayaan supaya mereka kekal dalam dunia media," katanya dalam Temu Bual Khas Bersama Bernama Radio hari ini.

Mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”, HAWANA 2024 berlangsung selama tiga hari di sini bermula esok dan kemuncak sambutan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei. 

HAWANA 2024 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak, manakala Bernama selaku agensi pelaksana.

Selain itu, Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 berkata perkembangan dan perubahan teknologi perlu diterima oleh semua pihak dalam industri media kerana ia banyak membantu dalam bidang kewartawanan misalnya kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi ChatGPT.

Bagaimanapun, Nur-ul Afida berkata di sebalik perkembangan teknologi, semua pengamal media pada setiap masa mesti membuat laporan secara beretika dan mengekalkan prinsip kewartawanan serta menggunakan naluri kemanusiaan untuk menghasilkan sesuatu berita dengan sebaiknya. 

"Kita tidak boleh bergantung dengan tradisi cara lama, tidak kira apa usia, kita harus cakna dan mengikuti peredaran semasa, ambil tahu walaupun belajar bukanlah mudah, tapi kita kena terima perubahan teknologi ini," katanya yang berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama 40 tahun.

Ditanya keistimewaan HAWANA 2024, Nur-ul Afida berkata dua perkara akan menjadi tumpuan iaitu cadangan mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia dan usaha untuk membantu pemberita sambilan atau stringer yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pada Februari lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata draf Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia akan dibentangkan pada sidang Parlimen bulan depan. 

HAWANA 2024 membuka tirai esok dengan perasmian Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa oleh Fahmi di Pustaka Negeri di sini, selain Pameran HAWANA 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre selama tiga hari bermula Sabtu.

-- BERNAMA