'HUMAN TOUCH' BERI JIWA KEPADA KARYA, TIDAK MAMPU DIBUAT AI

23/05/2024 02:43 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat menyebabkan kebanyakan syarikat dan industri seperti organisasi media terpaksa ‘mengejar’ untuk beradaptasi dengan teknologi canggih itu dalam operasi harian.

Ia ditambah lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei lepas menyeru agar negara bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi AI dalam era pascanormal pada masa ini.

Justeru, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi di Universiti Malaya (UM) Dr Mumtaz Aini Alivi berkata pengamal media perlu serba boleh dengan mempunyai kemahiran kewartawanan dan pada masa sama celik AI.

Beliau berkata kemahiran atau sentuhan magis pengamal media boleh digabungkan dengan mesin seperti AI, untuk memberikan hasil terbaik dalam tugasan mereka yang kian mencabar dengan kewujudan sosial media ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan AI bukan mengambil alih tugas pengamal media pada masa akan datang sebaliknya lebih kepada memudahkan, mempercepatkan dan memperbaiki kualiti produksi dalam bidang kewartawanan dan penerbitan.

“Saya masih percaya human touch penting untuk memberi ‘jiwa’ kepada sesuatu karya yang tidak mampu dibuat oleh mesin. Arahan boleh diberi kepada perisian, tetapi sejauh mana penjanaan data diterima bergantung kepada kebijaksanaan manusia untuk memberikan arahan, " katanya. 

Selain itu, Mumtaz Aini berkata AI juga tidak patut dilabelkan sebagai melakukan tugas yang ‘remeh’, sebaliknya banyak kecanggihan teknologi yang mampu dilakukan membolehkan hasil produk lebih kreatif, memendekkan masa mengumpul data, mengedit dan lain-lain.

Namun, beliau tidak menolak bahawa AI berisiko untuk memberikan data kurang tepat, sesuatu yang tidak boleh dikompromi sebagai wartawan memandangkan ketepatan fakta adalah antara prinsip utama bidang kewartawanan.

Katanya, walaupun AI memudahkan tugas media dalam banyak urusan dan menjadikan hasil lebih kreatif serta menarik, tetapi apa yang penting adalah bagaimana setiap lapisan pengamal media perlu melakukan semakan data dahulu sebelum menerbitkan bahan berkenaan.

“Peranan editor sebagai gatekeeper bukan sekadar semak ayat, tetapi perlu membuat semakan terhadap keseluruhan paparan bahan sebelum diterbitkan. Kerana itu tugas sebagai editor bukanlah mudah.

“Wartawan sebagai sumber permulaan pengumpulan data pula, perlu berhati-hati dengan maklumat yang diperoleh. Apabila ini dilakukan dengan sempurna, maka tidak menjadi isu dengan penggunaan AI.

“AI boleh digunakan, tetapi semakan perlu dilakukan sebelum diterbitkan. Adalah satu kerugian jika kecanggihan AI tidak digunakan di organisasi media kerana terdapat banyak kelebihannya,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai wartawan dan penyunting berita selama 22 tahun.

Mumtaz Aini berkata semua organisasi media di Malaysia perlu mengoptimumkan penggunaan AI dalam organisasi masing-masing dan diperhebatkan lagi jika tidak mahu ketinggalan jauh dalam arus perubahan media yang pantas.

“Jika tidak, produk mereka tidak lagi menarik penonton untuk menonton atau membacanya. Sebagai manusia, adalah biasa kita tertarik untuk melihat sesuatu yang menarik, itu naluri manusia,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, satu Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital' akan diadakan melibatkan penceramah terkenal dari dalam dan luar negara. 

Mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’, HAWANA 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei. 

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.

-- BERNAMA