LINDUNGI ESTET KEEMPAT, PASTIKAN MEDIA ARUS PERDANA TERUS DIPERCAYAI - SJA

Sabah Journalists Association (SJA) president Datuk Muguntan Vanar

22/05/2024 02:32 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) -- Persatuan Wartawan Sabah (SJA) berharap pihak berkepentingan, pemilik agensi media dan kerajaan akan memainkan peranan dalam melindungi estet keempat iaitu media dan golongan wartawan.

Presidennya Datuk Muguntan Vanar berkata kesemua pihak berkenaan juga perlu memastikan media arus perdana kekal sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai untuk masyarakat.

“Sebagai sebuah persatuan, kami (SJA) telah menyaksikan banyak media arus perdana (syarikat) ditutup atau mengecilkan operasi, susulan hasil pengiklanan berkurangan dengan ketara.

“Ramai dalam kalangan wartawan yang bagus telah hilang kerja atau terpaksa menjadi wartawan sambilan bagi mencari nafkah selepas penutupan syarikat dan pemberhentian kerja,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi memastikan industri media di negeri ini terus maju, terdapat keperluan kolektif untuk semua wartawan mempelajari, menghayati serta mendalami nilai-nilai dan elemen kewartawanan.

Muguntan yang juga Ketua Biro The Star (Sabah) berkata hal berkenaan membolehkan wartawan secara konsisten menghasilkan kandungan berita dengan berintegriti tinggi dan tidak berat sebelah sekali gus menyediakan fakta yang tepat kepada pembaca.

"Kandungan media merupakan hasil kewartawanan. Kebolehjualan mereka bergantung pada kredibiliti mereka. Pengamal media menjunjung integriti profesion mereka dan tidak berbelah bahagi dalam pendirian berkenaan.

“Kod etika profesional ‘mengikat’ wartawan. Komitmen terhadap kod berkenaan perlu ditunjukkan dalam tingkah laku dan kandungan daripada wartawan,” katanya.

Muguntan menyatakan bahawa kewartawanan dipraktikkan berpandukan tadbir urus sendiri berdasarkan etika dan amalan tidak bertulis, iaitu tidak seperti profesion lain kewartawanan tidak memiliki undang-undang bertulis namun mempunyai etika yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata pelbagai undang-undang di negara ini turut memberi kesan kepada wartawan, sehubungan itu cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia dilihat mampu menyediakan beberapa garis panduan.

Muguntan berkata tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa industri media akan menjadi tidak relevan dalam tempoh terdekat memandangkan ia ditentukan oleh pengguna, integriti, pandangan serta kredibiliti.

Justeru, katanya kerelevanan kewartawanan itu bergantung pada kekuatan mereka, menegakkan dan memperjuangkan integriti media serta kecekapan wartawan.

Beliau turut menekankan kepentingan terhadap wartawan di negara ini dalam memahami perbezaan yang wujud dalam masyarakat di kawasan atau negeri-negeri di Malaysia. 

“Dengan memahaminya, ia akan meletakkan kita semua dalam keadaan untuk memperjuangkan perpaduan selaras dengan etika dan amalan kewartawanan,” katanya.

Hari Wartawan Nasional 2024 (HAWANA 2024) dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini.

Dengan tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’, HAWANA 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Perhimpunan wartawan terbesar di Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah agensi pelaksana.

-- BERNAMA