WANITA CEMERLANG DALAM BIDANG KEWARTAWANAN, GENDER BUKAN HALANGAN
Oleh Nazirah Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kehebatan dan kemampuan wanita dalam bidang kewartawanan tidak boleh dinafikan lagi, malah keupayaan mereka untuk melaksanakan tugasan mencabar juga sudah mampu setanding dengan petugas media lelaki.
Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) Sariha Mohd Ali berkata isu gender bukan lagi halangan untuk seseorang itu diberikan peluang dalam apa juga bidang pekerjaan termasuk kewartawanan.
“Saya tidak melihat gender sebagai halangan untuk seseorang itu menceburi apa sahaja bidang seperti ketenteraan dan sukan. Selagi tidak menyalahi undang-undang, kita boleh buktikan.
“Dalam bidang kewartawanan, saya sering dengar ada ketua tidak mahu golongan wanita membuat liputan tertentu sebab mahukan kaum lelaki yang kononnya boleh banyak bergerak dan lasak. Kita (wanita) ada kelebihan dan daya, bahkan untuk mendapatkan bahan atau maklumat, saya percaya wanita sentiasa mampu lakukannya,” katanya yang juga Pengarang Berita di Berita Harian, kepada Bernama.
Melontarkan pandangan sama Ketua Biro Wanita, Pembangunan Keluarga dan Penawar Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Datuk Jamelah A. Bakar yang mahu golongan wanita diberi pengiktirafan dengan lebih jelas.
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan Berita Harian sekitar 1970-an itu mengakui kedudukan wanita dalam bidang kewartawanan sudah berada di tahap yang baik namun diskriminasi gender masih tebal dalam kalangan masyarakat.
“Pada 70-an, ketika berkhidmat di Utusan Malaysia hanya ada dua wartawan wanita sahaja yang ditempatkan di meja politik. Tapi disebabkan bilangan wartawan wanita sedikit, kami dapat menghasilkan banyak berita eksklusif terutamanya berkaitan Perdana Menteri dan kini pekerjaan kita (wartawan) dimonopoli golongan wanita.
“Seperti di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarang iaitu jawatan penting dalam agensi berkenaan dan kini beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif. Penyunting berita di pelbagai media juga turut diberi kepada wanita," katanya.
Sementara itu, bekas editor akhbar Berita Harian Zubaidah Abdul Rahman berpendapat pekerjaan sebagai wartawan dalam kalangan wanita kian mendapat tempat di hati masyarakat apabila ramai melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dalam bidang berkenaan kerana ingin bergelar ‘orang media'.
Zubaidah yang menulis sejak berusia 15 tahun dan menjadi wartawan di New Straits Times pada 14 Sept 1964 sebelum pencen pada 1998 berkata penglibatan wanita dalam bidang berkenaan tidak lagi dipandang serong malah dihormati berbanding ketika era beliau.
Berkongsi pengalamannya, Zubaidah berkata semasa menjalani program Southeast Asian Cadets Journalist selama tiga bulan di awal perkhidmatannya, beliau bersama seorang jurugambar telah diarah berjalan kaki di Kuala Lumpur selama sebulan semata-mata untuk mengenal jalan.
“Saya juga pernah dihantar membuat liputan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Selangor tetapi dihalau oleh petugas dengan alasan tiada wartawan wanita bekerja di Berita Harian. Saya terpaksa keluar dan menghubungi pejabat, namun mereka tetap halau.
“Semasa peristiwa hitam 13 Mei 1969, saya diarah buat liputan dan keadaan ketika itu sangat dahsyat dengan mayat bergelimpangan, kami para wartawan diugut bunuh dan dikejar oleh gangster. Tapi Alhamdulillah, semuanya selamat dan itu antara kenangan paling diingati,” katanya.
Bagi menghargai petugas media, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 diadakan di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 25 Mei ini dengan perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.
Lebih 800 orang pengamal media termasuk dari negara jiran dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Bernama selaku agensi pelaksana.
-- BERNAMA