TABUNG KASIH@HAWANA KENAL PASTI 100 PENGAMAL MEDIA YANG MEMERLUKAN

18/05/2024 05:26 PM

KEPALA BATAS, 18 Mei (Bernama) -- Menjelang sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 minggu depan, Tabung Kasih@HAWANA telah mengenal pasti 100 bekas dan pengamal media yang memerlukan bantuan akibat penyakit, kesempitan hidup, mahupun uzur sejak inisiatif itu diperkenalkan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata selaku pengendali tabung berkenaan, Bernama hari ini telah memberikan sumbangan kepada lima lagi bekas pengamal media yang memerlukan di sekitar Kepala Batas dan mereka antara 100 orang yang dikenal pasti.

Lima pengamal media yang menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, inisiatif Kementerian Komunikasi ialah pasangan suami isteri Mohd Idrus Mohd Ali dan Zuraida Abdul Rahman serta Luqman Hakim Quek Abdullah dan Sarimah Othman selain Azizah Abdul Majid.

“Hari ini, sekali lagi kita turun ke Pulau Pinang untuk terus menyantuni bekas pengamal media di sini dan dalam masa sama mengambil peluang bertanya khabar mereka yang sebelum ini pernah bertugas di Bernama, Utusan dan Karangkraf, malah ini cara terbaik untuk kami santuni.

"Bernama akan membantu sedaya upaya mereka yang terkesan, peruntukan yang kita terima secara suku tahunan telah mencecah 100 orang dan dalam senarai kita ada beberapa puluh lagi yang lain, malah kita terus mengesan mereka menerusi pengamal media dan wartawan veteran," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu kepada lima penerima di sini hari ini.

Sementara itu, Azizah, 72, atau lebih dikenali sebagai Azizah Zahari Majid di konti radio yang bertugas sebagai juruhebah dan penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari 1973 sebelum berhenti pada 2000, berkata beliau kini menghidap pelbagai penyakit antaranya buah pinggang, darah tinggi serta kencing manis.

Katanya, beliau yang mempunyai enam anak dan 12 cucu mengalami sedikit kesukaran hidup kerana perlu membeli ubat di farmasi setiap bulan kerana tiada ubat di hospital kerajaan, selain turut mendapatkan rawatan dan ubat di klinik kesihatan serta hospital kerajaan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tabung Kasih@HAWANA yang datang mencari dan memberikan sumbangan hari ini, ia dapat meringankan beban, cuma saya berharap agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula sumbangan bulanan kepada kami yang tidak menerima pencen seperti yang pernah diperjuangkan Persatuan Veteran RTM sebelum ini," katanya.

Sarimah, 61, dan Luqman Hakim Quek, 54, yang merupakan bekas penyunting di Bernama ketika ini mengalami kesukaran hidup dan bergantung kepada jualan kuih karipap di gerai serta makanan secara tempahan.

Sarimah berkata beliau dan suaminya merupakan petugas kontrak dan selepas kontraknya tamat pada 2019, mereka menjalankan perniagaan batik, namun ia terpaksa dihentikan ketika COVID-19 sebelum pulang menetap di Permatang Tinggi B di sini.

"Sekarang ini hanya bergantung dengan jualan karipap dan makanan lain seperti mi Sarawak dan mi kolok jika ada tempahan, saya bersyukur kami suami isteri menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, terima kasih kerana tidak lupakan bekas pengamal media seperti kami," katanya.

Zuraida, 61, yang merupakan bekas Ketua Biro Bernama Pulau Pinang berkata beliau dan suaminya Mohd Idrus, 61, bekas ketua wartawan Sinar Harian Pulau Pinang diuji dengan masalah jantung dan strok serta masih menjalani rawatan di Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang.

Zuraida yang mengambil pencen awal pada 2009 berkata pada September tahun lepas, beliau diserang strok dalam masa sama mengalami masalah jantung, namun bernasib baik kerana mendapatkan rawatan awal ketika itu.

"Suami pun menghidap strok dan sehingga sekarang masih menerima rawatan, namun alhamdulillah keadaan kami semakin baik dan masing-masing perlu mengikut jadual janji temu di hospital, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Tabung Kasih@HAWANA menyantuni kami," katanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena dengan sambutan HAWANA 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara, yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara.

HAWANA 2024, perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA