PENGAMAL MEDIA PERLU SENTIASA BERMAKLUMAT, FAHAM DASAR KERAJAAN
Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Pengamal media khususnya di Sabah perlu sentiasa dilengkapi dengan maklumat ‘terkini’ di samping berusaha memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan serta kefahaman mendalam mengenai setiap dasar diperkenalkan kerajaan bagi menjadi seorang wartawan yang terbaik.
Bekas Ketua Pengarang New Sabah Times Emin Madi berkata kemahiran mengenai dasar kerajaan dan isu semasa seharusnya dikuasai oleh semua wartawan sebagai usaha memastikan peranan profesion kewartawanan dalam pembangunan negara mampu digalas dengan berkesan.
“Peranan dan sumbangan kewartawanan dalam pembangunan negara sememangnya sangat relevan. Itulah yang telah, sentiasa dan tentunya berlaku di masa akan datang,” katanya kepada Bernama.
Emin, 74, turut menekankan tentang pentingnya kerajaan mempunyai hubungan kerja yang baik dengan pengamal media bagi memastikan mereka dapat menghasilkan laporan berita lebih tepat, holistik dan komprehensif mengenai apa sahaja isu berbangkit.
Beliau berkata ini kerana sebarang kelemahan yang wujud dalam laporan media terutama melibatkan isu semasa atau berita mengenai inisiatif kerajaan, adakalanya ia disebabkan kurang kefahaman atau kurang maklumat daripada pihak berkaitan.
“Selalunya wartawan menghadapi kesukaran untuk membuat laporan secara mendalam mengenai sesuatu inisiatif kerajaan kerana tidak mendapat akses kepada maklumat diperlukan. Justeru kerjasama dua hala antara kerajaan dan pengamal media sangat penting,” katanya.
Emin berkata pemain industri media juga perlu mencari pendekatan baharu yang lebih menarik dan kreatif termasuk membanyakkan cerita-cerita berunsur ‘human interest’ serta kejadian unik, supaya mampu menarik perhatian masyarakat umum, sekali gus mencetuskan minat untuk teruskan membaca surat khabar.
Beliau yang kini bertugas sebagai wartawan sambilan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah berkata realitinya ialah kebangkitan dan kewujudan media sosial tidak mungkin dapat disekat atau dihalang, dan disebabkan itu wartawan profesional perlu menerima realiti dan bergerak sering.
Sementara itu wartawan Utusan Malaysia di Sabah Suraidah Roslan, 39, ketika diminta mengulas mengenai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 berkata sambutan yang diadakan sejak 2018 itu dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada profesion kewartawanan di negara ini.
Beliau berkata penganjuran sambutan itu sejak 11 April 2018, diharap dapat memberikan impak signifikan memandangkan usaha menubuhkan Majlis Media Malaysia belum dapat direalisasikan.
Bertemakan “Etika Teras Kewartawanan Mapan”, HAWANA 2024 dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Mei di Kuching, Sarawak dengan pelbagai pengisian program bermanfaat disediakan untuk fraterniti media dan masyarakat umum.
HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Bernama selaku agensi pelaksana.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara-negara anggota ASEAN turut dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang merupakan platform penting untuk fraterniti media profesional dan pakar industri, bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan bertujuan meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.
-- BERNAMA