HAWANA PLATFORM TINGKAT PEMAHAMAN MASYARAKAT MENGENAI ETIKA KEWARTAWANAN

17/05/2024 11:13 AM

KUCHING, 17 Mei (Bernama) -- Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 dilihat mampu menjadi platform meningkat pemahaman masyarakat mengenai tugas media, terutamanya dalam aspek menyampaikan maklumat tepat.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo berkata dalam menjalankan tugas di lapangan, pengamal media perlu berpegang kepada kod etika kewartawanan.

Beliau berkata sebagai contoh, pengamal media harus melakukan semakan fakta terlebih dahulu sebelum menulis laporan berita mereka.

“Etika kewartawanan ini merupakan batu asas amat penting kepada pengamal media, terutamanya dalam menyampaikan maklumat pada masyarakat dengan telus, sahih dan tepat,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ronnie menjadi tetamu dalam Program Juh Randau terbitan UKAS semalam.

HAWANA 2024 yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ serta program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa, merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah, yang akan dilancarkan pada 24 Mei oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak, manakala Bernama selaku agensi pelaksana.

Penganjuran tahun ini ialah edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sebelum diadakan di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan sambutan itu bertujuan meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat, selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

-- BERNAMA