Kasih@hawana 2023 Santuni Bekas Editor Utusan Borneo Yang Lumpuh

24/09/2023 06:03 PM

SERIAN, 24 Sept (Bernama) -- Komuniti pengamal media di Sarawak yang berdepan musibah terus diberi perhatian melalui bantuan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan kepada bekas Editor Utusan Borneo Edwin Jemat Nangkai, 70, hari ini.

Edwin Jemat, yang mesra disapa ‘Cikgu,’ berkata sumbangan itu meringankan beban mereka sekeluarga yang diuji setelah beliau ditimpa kemalangan pada 2016, menjadikannya lumpuh sebahagian badan. 

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang turut bertanggungjawab atas inisiatif ini.

"Saya terharu kerana ada yang 'nampak' kisah saya ini,” katanya sambil menahan sebak selepas menerima sumbangan daripada Sekretariat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di kediaman beliau di sini. 

Pesara guru itu turut memaklumkan beliau sudah mencuba nasib memohon bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonannya ditolak atas alasan beliau adalah penerima pencen.

“Selepas kemalangan motosikal pada 2016, saya cuba mendaftar sebagai OKU namun pegawai JKM memberitahu isteri saya bahawa saya tidak layak. Permohonan kemudahan Kenyalang Gold Card untuk warga emas di negeri ini pun tidak dapat,” kata bapa kepada tiga anak itu.  

Edwin Jemat juga berkata beliau sekeluarga ada menerima sumbangan daripada Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta) ketika musim pandemik COVID-19.

“Saya harap pihak kerajaan negeri boleh menyalurkan kebajikan yang lebih baik kepada insan yang memerlukan seperti saya. Sepatutnya isteri yang menjaga suami yang keadaannya seperti saya perlu layak dapat elaun,” katanya. 

Mula menceburi bidang kewartawanan pada 1990-an, Edwin Jemat yang menjadikan aktiviti menulis sebagai hobi pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan untuk Sarawak Tribune (kini New Sarawak Tribune) dan The Borneo Post.

“Sewaktu saya mengajar dan menjadi guru disiplin di sekolah dahulu, saya pernah menghantar penulisan saya kepada akhbar tempatan dan kebanyakannya menyentuh isu disiplin serta sukan. 

“Seandainya saya tidak lumpuh dan boleh memegang pen, saya akan menulis nasib saya ini. Ada paluan gendang yang tidak didengari dengan teliti… ada gendang yang tak sekuat mana bunyinya namun ada yang mendengar,” katanya yang merupakan penerima ketiga bantuan itu di Sarawak. 

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena HAWANA 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital serta dilaksanakan melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia sejak 14 April lepas sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

-- BERNAMA