Kasih@hawana 2023 Santuni Bekas Editor Media Tempatan Sarawak

14/09/2023 09:24 PM

ASAJAYA (Sarawak), 14 Sept (Bernama) -- Kebajikan pengamal media di negeri ini terus diberi perhatian apabila bekas editor sukan New Sarawak Tribune Juary Mesa, 69, menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, hari ini.

Bapa tunggal yang menghidap strok sejak 2021 itu berkata inisiatif berkenaan amat bermakna buatnya, yang kini hanya bergantung harap kepada bantuan RM200 sebulan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). 

“Saya tidak dapat bekerja selepas terkena strok, namun buat masa ini masih boleh bergerak sendiri secara perlahan-lahan… pada masa yang sama saya perlu menyara anak Orang Kurang Upaya (OKU) saya berusia 32 tahun.

“Inisiatif ini menunjukkan semangat ‘kebersamaan’ dalam kalangan warga media… saya hargai apa jua jenis sumbangan walaupun ia berbentuk sekali beri atau bernilai RM1, saya masih bersyukur,” katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan oleh Sekretariat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, di kediamannya di Kampung Moyan Lidang di sini, hari ini. 

Juary berkata ihsan penduduk kampung yang tidak lokek menghulurkan bantuan seperti makanan dan barangan keperluan asas lain, menjadikannya sentiasa berasa ‘cukup’.

“Wang simpanan saya juga sudah habis digunakan sejak 2021 lagi. Jika diberi peluang untuk kembali sihat, saya masih mahu meneruskan kerja menyunting berita di pejabat New Sarawak Tribune,” katanya yang mempunyai empat orang anak berusia dari 44 hingga 30 tahun.

Juary memulakan karier dalam dunia kewartawanan pada 1992 sebagai editor di The Borneo Post, sebelum memulakan perkhidmatan sebagai editor sukan di New Sarawak Tribune dari 1999 hingga 2021.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang dilaksana menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

-- BERNAMA