Bekas Jurugambar Utusan Malaysia Terima Tabung Kasih@hawana

Former Utusan Malaysia photographer, Mohamad Sazali Che Din.

22/08/2023 06:44 PM

GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Kebajikan pengamal media terus diberi perhatian apabila seorang bekas jurugambar Utusan Malaysia, Mohamad Sazali Che Din yang mengalami strok menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, hari ini.

Mohamad Sazali, 56, yang sedang menjalani rawatan di Wad Rehabilitasi di Jalan Perak di sini terharu dengan sumbangan yang diterimanya kerana tidak menyangka walaupun sudah tidak bekerja sejak 2019 dalam bidang media masih ada pihak yang mengingatinya.

Beliau yang lumpuh sebelah badan kanan turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menyalurkan bantuan kepadanya hari ini dalam usaha menjaga kebajikan pengamal media.

"Ini kali kedua saya mengalami strok dan kali ini kena sebelah badan kanan namun selepas rawatan kaki saya semakin baik dan telah boleh berjalan walaupun tidak kuat...namun tangan kanan masih lagi lumpuh dan perlu menjalani rawatan di Wad Rehabilitasi.

Kali pertama saya kena strok pada 2019 dan ketika itu bahagian muka langsung tidak boleh bergerak dan Alhamdulilah selepas menjalani rawatan termasuk fisioterapi, keadaan semakin pulih dan boleh bekerja (bukan dalam bidang media)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin dan Aeon Big itu disempurnakan oleh Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Pulau Pinang Kenny Teng Khoon Hock di Wad Rehabilitasi di Jalan Perak di sini.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif KKD yang dilaksanakan menerusi Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Bapa kepada enam anak berusia sembilan hingga 21 tahun itu beberapa kali menahan sebak kerana tidak menyangka menerima bantuan itu yang merupakan inisiatif KKD.

"Terima kasih kerana walaupun dah lama saya berhenti (tidak bekerja dalam media), mereka masih ingat pada saya dan saya harap sumbangan seperti ini diteruskan supaya lebih ramai bekas pengamal media atau wartawan veteran dijejaki serta mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut,"katanya.

Di Pulau Pinang selain Mohamad Sazali, bekas jurukamera TV3 Roslee Ramali, 57, yang mengalami strok turut menerima inisiatif Tabung Kasih@HAWANA pada 5 Ogos lepas.

-- BERNAMA