TABUNG KASIH@HAWANA TERUS SANTUNI WARTAWAN VETERAN

27/07/2023 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kebajikan pengamal media terus diberi perhatian apabila dua wartawan veteran iaitu Fauziah Abd Samad, 68, dan Fauziah Raof, 79, menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, hari ini.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Arul Rajoo Durar Raj di kediaman kedua-dua wartawan veteran berkenaan di sini. 

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang dilaksana menerusi Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Fauziah ketika ditemui pemberita berkata beliau memulakan kerjaya wartawan pada 1972 dan menimba pengalaman di pelbagai akhbar, televisyen serta majalah seperti Radio Television Malaysia (RTM), Berita Harian, The New Straits Times dan The Malay Mail, selain pernah menulis puluhan skrip dan berlakon drama.

“Saya bangga dengan wartawan yang ada sekarang kerana pelbagai kejayaan dicapai mereka berbanding dengan kami yang dulu perlu belajar dari bawah, bekerja sambil belajar, tapi sekarang sudah ada pendidikan formal (media) di universiti,” katanya kepada Bernama.

Fauziah turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dan berharap ia diteruskan supaya lebih ramai wartawan veteran dijejaki dan mendapat manfaat daripada inisiatif itu. 

“Saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini. Walaupun sudah lama meninggalkan bidang kewartawanan, masih ada yang mengingati saya,” katanya yang menghidap kencing manis sejak 11 tahun lepas serta masalah sendi yang menyukarkan pergerakannya.

Sementara itu, Fauziah Raof pula berkata walaupun sudah tidak aktif sebagai wartawan,  semangat dan kecintaan beliau dalam bidang itu masih terbawa-bawa hingga ke hari ini. 

“Sebagai contoh, apabila ada kunjungan pelawat seperti perdana menteri dari luar negara ke Malaysia, saya akan bertanya dengan kawan-kawan bagi mendapatkan maklumat kerana ia menjadi kebiasaan sejak dahulu,” katanya.

Selain lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, beliau turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar tahun 80-an.

Fauziah berkata kemahirannya menguasai beberapa bahasa asing seperti bahasa Arab dan Perancis, banyak membantunya dalam membuat temu ramah dengan kenamaan asing yang datang ke Malaysia dan turut berpeluang membuat liputan ke luar negara.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida berkata sejak Tabung Kasih@HAWANA dilancarkan pada Mei lepas, seramai 14 bekas wartawan telah menerima sumbangan wang tunai dan keperluan harian yang diperuntukkan oleh KKD. 

“Kami juga mengharapkan persatuan media lain dapat menyantuni dan memberikan sumbangan kepada wartawan veteran yang memerlukan. Dalam keadaan mereka yang uzur, kami percaya kunjungan seperti ini dapat mengurangkan rasa sakit dan lebih dihargai,” katanya.

--BERNAMA