Kkd Akan Bincang Dengan Perkeso Caruman Untuk Stringer

16/07/2023 04:18 PM

KAMPAR, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pihak terlibat berhubung caruman untuk wartawan khususnya stringer atau wartawan sambilan.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata beliau telah berbincang mengenai perkara itu bersama Ketua Setiausaha Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata pihaknya perlu meneliti isu dihadapi oleh para stringer yang tidak berkhidmat dengan organisasi atau syarikat media secara sepenuh masa.

Antara perkara yang akan diteliti, katanya, ialah apabila berlaku kemalangan dan pemberita terbabit tidak boleh bekerja namun proses rehabilitasi berkos tinggi serta tidak ditampung oleh PERKESO.

“Jadi ada beberapa perkara kita nak teliti dan tambah baik sebab bagi saya stringer melengkapkan ekosistem bagi para pengamal media dan mereka banyak membantu, maka kita nak teliti apa yang kita boleh lakukan untuk membantu lebih ramai stringer,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi menziarahi wartawan bebas Ng Kan Seng di kediamannya di sini bagi menyampaikan bantuan dan memberi sokongan kepada Ng yang kini uzur. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama D. Arul Rajoo yang juga Pengarah Projek Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

Fahmi yang menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada Ng, 68, berkata wartawan bebas terbabit pernah berkhidmat di beberapa akhbar berbahasa Cina antaranya Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh dan Sin Chew Daily.

Beliau berkata dengan peredaran zaman mungkin sedikit sukar untuk Ng terus berkecimpung dalam bidang kewartawanan apatah lagi apabila isterinya Ting Kit Khim, 62, mengalami strok dan tidak boleh berjalan.

Katanya Ng menghabiskan masa menjaga isteri dan adiknya Ng Kin Kok, 66, yang mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan.

“Bantuan yang kami sampaikan hari ini ada berbentuk barang-barang dan juga wang tunai yang kita harap dapat mengurangkan sedikit beban yang dipikul oleh Encik Ng,” katanya.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena HAWANA 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif KKD dan dilaksanakan menerusi Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran serta cabaran hidup.

Sementara itu, Ng yang juga bapa kepada tiga anak, berkata beliau masih menulis berita terutama di sekitar Kampar meskipun tidak bergaji tetap. 

Ng turut berterima kasih kepada Fahmi, Bernama dan semua pihak yang terlibat dalam membantu meringankan beban beliau serta keluarga.

Terdahulu di Batu Gajah, Sekretariat HAWANA 2023 menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada pemberita sambilan Bernama Razif Rosli yang menghidap penyakit buah pinggang.

Bantuan disumbangkan oleh KKD, Bank Rakyat Malaysia Berhad, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin, Aeon Big, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Selain Ng dan Razif, seramai 10 lagi pengamal media telah menerima sumbangan Tabung Kasih@Hawana sejak 14 April 2023.

-- BERNAMA